Al Fatihah di atas pemergian ulama ternama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sekitar pengebumian beliau.
Syahdu dihari jumaat ini. Dari pagi rasa kehilangan. Walau tiada pertalian darah. Kesedihan tetap menyelubungi jiwa :'(
Hilangnya seorg pejuang.
Moga rohnya dicucuri rahmat.
Amin
***
Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz
Nik Mat
Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: January 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam
sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau
Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin
Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan
panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama.
Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di
Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama
ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil
beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum
ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan
Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut,
Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan
Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung
Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau
Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas
Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru
menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat
menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan
murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi
Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti
Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir
al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik
al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad
Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan
India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam
bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar,
Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab
kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam
jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau
mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari
1962.
Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah
wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama
Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat
di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah
malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat
di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga
1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir
(sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding
di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut
Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS
Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat
yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS
Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah
bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau
bukan satu tugas yang kecil.
Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa
Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi
siri-siri kuliah dan ceramah.
Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar
Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat
pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang
masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau
itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah
berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak
dahulu lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas
dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat
di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya
tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari
setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan
pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar
rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang
pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau
mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar
adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan
Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat
pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.
Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin
Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota
Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10
cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim,
Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’
Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu
binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi
kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh
dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang
perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas
keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung
pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.
Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya
umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan
Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli
Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan
pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya
di Dewan Rakyat.
Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu
masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik
Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran
yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi
ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi
tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih
mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan
Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota
Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.
Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat
Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti
ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar
Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.
No comments:
Post a Comment
sharing any thoughts about this?